Beras naik harga
BN = Beras Naik
Simple logic - Kalau harga apa-apa barang pun naik, maknanya kerajaan tak berjaya kawal harga. Kalau boleh kawal, tentulah harga tak naik. Tak payah masuk universiti pun nak faham benda ni.
Si Saidon Ahmad ni perlu disuruh pergi belajar ekonomi dulu sebelum nak buat kenyataan. Rakyat berpendapatan rendah dah lama tak tertanggung pesta kenaikan harga barang. Kalau keluarga yang anak ramai, sekampit beras lama mana sangat boleh tahan. Kalau makan nasi seminggu sekali boleh lah cakap.
Lepas ni semua kena pakat makan nasi sekali sehari. Siang makan nasi, malam makan ubi kayu balik macam zaman Jepun.
Harga beras masih terkawal (Berita Harian 17 April 2008)
Oleh Faiza Zainudin
Kenaikan ketara hanya membabitkan jenis mewah, bukan beras Super 15
KUALA LUMPUR: Pengilang, pemborong dan peruncit beras di seluruh negara terpaksa menaikkan harga beras antara 10 hingga 30 peratus sejak sebulan lalu, berikutan peningkatan harga minyak selain kekurangan bekalan di pasaran dunia.
Mereka menyifatkan kenaikan harga pelbagai jenis beras termasuk yang dikawal harganya oleh kerajaan itu tidak dapat dielakkan kerana kenaikan kos minyak menyebabkan harga barang keperluan lain turut meningkat.
Pengerusi Persatuan Kilang Beras Melayu Malaysia, Saidon Ahmad, berkata kenaikan harga beras itu bukan berlaku secara mendadak, sebaliknya beransur-ansur sejak sebulan lalu dan tidak membebankan pengguna.
Beliau mendakwa, kenaikan harga beras yang ketara hanya membabitkan jenis mewah dan bukannya beras Super 15 yang dikawal harganya oleh kerajaan menerusi PadiBeras Nasional Bhd (Bernas).
“Harga beras Super 15 turut dinaikkan, tetapi masih dalam kawalan kerajaan dan rakyat berpendapatan rendah mampu membelinya.
“Harga beras lain naik atau turun tidak menentu mengikut pasaran atau permintaan dan rakyat yang tidak mampu membelinya boleh membeli beras Super 15 yang harganya rendah iaitu kurang RM20 bagi 10 kilogram,” katanya ketika dihubungi di Alor Star, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenaikan harga beras di seluruh negara yang mencatatkan kenaikan mendadak antara 10 hingga 20 peratus sejak Ahad lalu, dipercayai berpunca daripada peningkatan harga beras global.
Tinjauan mendapati beras Super Special lima peratus jenama tempatan Jasmine naik antara RM3 hingga RM4 sekampit dengan harga terbaru RM15.90 bagi kampit lima kilogram berbanding RM12.90 sebelum ini.
Sementara itu, seorang pemilik syarikat pengilang dan pemborong beras yang enggan dikenali, mengakui syarikatnya menghadapi kesukaran untuk menaikkan harga beras berjenama kerana bekalan makanan itu yang terhad.
“Bekalan tiada, macam mana hendak naikkan harga. Kami membungkus dan menjual beras berjenama dan kurang menjual beras tempatan yang dikawal harga oleh kerajaan,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
Sumber Bernas berkata, pihaknya tidak terbabit langsung dengan kenaikan harga beras kerana tidak mendapat kebenaran dari kerajaan untuk menaikkan harga walaupun sudah beberapa kali memohon untuk berbuat demikian.
Beliau berkata, pihaknya berperanan menguruskan stok beras negara bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan mengimport beras sekiranya mempunyai kekurangan bekalan.
“Kami patuh kepada arahan kerajaan, selagi tidak beri naik harga, harga beras tetap macam itu,” katanya.
Ditanya mengenai stok beras negara, beliau berkata Malaysia tidak mengalami krisis kekurangan bekalan yang serius kerana stok sedia ada sebanyak 600,000 matrik tan mampu menampung bekalan untuk tempoh tiga bulan.


