Mahu berjaya…
Jadikan keusahawanan sebagai kerjaya
KOTA BHARU 11 Mei - Graduan menganggur diminta membuka minda bagi menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya berbanding mengharapkan pekerjaan makan gaji semata-mata.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad berkata, bidang tersebut menjanjikan pendapatan yang lebih lumayan dan mempunyai peluang cerah untuk diterokai, terutama selepas kerajaan melancarkan koridor ekonomi seperti Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) baru-baru ini.
Beliau berkata, keusahawanan merupakan penyelesaian kepada graduan yang mempunyai masalah untuk memilih pekerjaan sesuai dengan kelulusan yang dimiliki mereka.
“Kita harus membuka minda, kelulusan akademik bukan menjadi penentu untuk mendapatkan pekerjaan, penilaian majikan sekarang ialah bergantung kepada kebolehan, kemahiran, sikap dan motivasi diri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian penutup Karnival Kerjaya dan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.
Karnival dua hari yang bermula semalam itu, dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung bagi merebut 5,794 peluang pekerjaan yang disediakan oleh 41 majikan dari seluruh negara.
Dalam pada itu, Noraini meminta golongan wanita supaya berhati-hati ketika mendapatkan tawaran pekerjaan yang menjanjikan imbuhan yang lumayan.
“Sekiranya mereka mendapat tawaran yang lumayan, beberapa perkara yang perlu dikaji terutama sekiranya diberikan tawaran pendapatan lumayan.
“Kita bimbang imbuhan lumayan yang diberikan itu adalah perangkap kepada wanita untuk melakukan aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.


